Isnin, 19 Januari 2009

Khianat, mungkir janji perilaku Yahudi



Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi


Bani Israel terkenal dengan sifat kufur walaupun dianugerah limpahan nikmat

KISAH jatuh dan bangunnya sesebuah bangsa begitu banyak menghiasi helaian al-Quran al-Karim sebagai satu unsur pengajaran dan pendidikan kepada umat Islam. Lebih menarik, ada juga kisah itu di ulang pada beberapa surah. Ia sebagai memperkuat dan melengkapkan lagi unsur pengajaran supaya diterjemahkan ke dalam realiti kehidupan yang serba mencabar ini.

Kisah kaum Saba’, kaum ‘Ad, kaum Thamud dan sebagainya adalah antara cebisan nostalgia silam yang mengungkapkan rahsia tersendiri dan hanya dapat difahami oleh Muslim yang berfikir.

Satu lagi kisah perlu diberi perhatian dan menjadi bahan renungan umat Islam dewasa ini ialah kisah kaum Yahudi Bani Israel banyak dirakamkan Allah dalam al-Quran bagi mendedahkan tembelang sebenar kaum Yahudi terhadap isu keagamaan dan kemanusiaan sejagat.

Perkataan Israel yang pada asalnya bererti pilihan adalah satu sebutan khusus bagi Nabi Yaakub. Jadi Bani Israel adalah susur galur keturunan Nabi Yaakub. Tetapi sekarang Bani Israel lebih dikenali dengan sebutan Yahudi atau Zionis.

Sebagai bangsa pilihan, mereka telah dianugerahkan limpahan nikmat Allah yang tidak diberikan kepada bangsa lain.

Antaranya diutuskan ramai nabi dan rasul yang berasal daripada kalangan mereka serta diselamatkan daripada kezaliman Firaun dan tenteranya. Mereka juga dilindungi awan ketika berjalan di bawah terikan mentari dan diturunkan makanan dari syurga iaitu manna dan salwa serta dua belas mata air. Banyak lagi nikmat Ilahi kepada bangsa ini yang tiada terhitung.

Semua nikmat itu Allah rakamkan di dalam al-Quran seperti firman-Nya bermaksud: “Wahai Bani Israil! Kenangkanlah kamu akan segala nikmat yang telah Kuberikan kepadamu, dan sempurnakanlah perjanjian (kamu) dengan-Ku supaya Aku sempurna perjanjian-Ku dengan kamu; dan kepada Akulah saja hendaklah kamu berasa gerun takut, (bukan kepada sesuatu yang lain).” (Surah al-Baqarah, ayat 40)

Biarpun kenikmatan demi kenikmatan Allah limpahkan kepada bangsa Yahudi, namun mereka berubah menjadi bangsa yang lupa diri, sombong, takbur, bongkak serta mempermainkan ayat Allah dan ajaran agama. Bahkan, mereka tergamak membunuh da’i dan nabi mereka sendiri yang sentiasa menyeru mereka ke arah kebaikan dan kesejahteraan hidup.

Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: “Sesungguhnya orang yang kufur ingkar akan ayat keterangan Allah dan membunuh nabi dengan jalan yang tidak benar serta membunuh orang yang menyeru manusia supaya berlaku adil, maka sampaikanlah berita menggembirakan mereka dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (Surah Ali Imran, ayat 21)

Demikianlah pula peri laku kaum Yahudi pada zaman Rasulullah SAW yang hampir relatif sama dengan jejak langkah nenek moyang mereka yang terdahulu. Mereka sangat membenci dan berhasad dengki terhadap Baginda dan sahabatnya.

Mereka berusaha dengan pelbagai cara dan helah sama ada secara terang-terangan mahupun sulit supaya kaum Muslimin meninggalkan ajaran agama Islam dan kembali menjadi kufur semula seperti mereka.

Peri laku jahat kaum Yahudi ini, Allah rakamkan dalam al-Quran sebagai satu pengajaran kepada umat Islam seperti firman-Nya bermaksud: “Banyak di antara Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir selepas kamu beriman kerana dengki yang timbul dalam diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad SAW).” (Surah al-Baqarah, ayat 109)

Sejarah Islam juga mencatatkan bahawa kaum Yahudi terkenal dengan sifat khianat dan mungkir janjinya di mana hampir semua perjanjian yang termeterai di antara mereka dengan Rasulullah SAW dikhianati.

Justeru, tidak menghairankan jika sekarang pun rejim Yahudi di Israel tetap mengulangi perbuatan khianat dan mungkir janji seperti yang dilakukan oleh nenek moyang mereka terdahulu. Mereka bukan saja mengkhianati seluruh isi perjanjian damai dengan bangsa Palestin, malah dengan bongkak tidak mahu tunduk kepada resolusi perdamaian Timur Tengah yang diputuskan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB ).

Kisah pengkhianatan kaum Yahudi dulu dan sekarang sekali gus membuktikan kebenaran wahyu Ilahi yang mendedahkan tembelang dan sikap kaum Yahudi sebenarnya terhadap isu keagamaan, kemanusiaan dan keamanan sejagat .

Oleh itu, mereka adalah golongan yang tidak boleh dipercayai sama sekali. Maka, tidak perlu lagi diusahakan sebarang rundingan atau perjanjian damai, apatah lagi diadakan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan mereka. Bahkan umat Islam di bumi Palestin yang dizalimi dan ditindas oleh rejim Zionis itu wajib berjihad demi mempertahankan maruah, harta benda, tanah air dan agama mereka.

Bagi umat Islam pula, mereka sewajibnya menyokong perjuangan umat Islam Palestin dengan sumbangan material, jiwa raga dan doa pengharapan kepada Allah supaya kemenangan akan berpihak kepada umat Islam.

Dalam mendepani arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan, kita sebagai umat Islam janganlah asyik leka dengan buaian kemajuan dan pembangunan fizikal. Sebaliknya, kita sewajibnya mempersiapkan diri dengan pembangunan insan supaya tersemat mantap iman dan akhlak dalam menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba ini.

Jangan pula dicontohi perangai jelek kaum Yahudi yang menyombong diri dan mengkhianati perjanjian kerana padahnya kelak amat buruk. Sejarah silam perlu menjadi tatapan wajib sebagai iktibar dan pengajaran berguna pada kemudian hari.

Saidina Ali bin Abi Talib pernah berkata: “Orang yang berakal itu ialah orang yang mahu mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah pengalaman orang lain.” Pepatah orang tua ada berkata: ‘Yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.’

Tiada ulasan: